IQNA

Nenek usia 85 tahun berjaya genggam ijazah di Palestin

14:22 - October 02, 2021
Berita ID: 3100227
TEHRAN (IQNA) - Siapa sangka walaupun pernah berhenti sekolah beberapa dekad lalu, namun seorang nenek berjaya menggenggam segulung ijazah, biarpun sudah mencecah usia 85 tahun.

Jihad Battu membuktikan keupayaan sebagai seorang wanita Palestin untuk menuntut ilmu walaupun konflik di negaranya tidak pernah berkesudahan, lapor Anadolu Agency.

Dilahirkan di Tebing Barat pada 1936, Jihad bersekolah di kampungnya di Mujaydil, berdekatan bandar Nazareth sehingga 1948 semasa penduduk Palestin diusir secara besar-besaran dari rumah mereka oleh rejim zionis.

Tahun sama turut menyaksikan ibunya ditimpa sakit sehingga menyebabkan dia terpaksa berhenti sekolah.

Pada 1954, Jihad melangsungkan perkahwinan dan dikurniakan lima anak.

Namun begitu, kesibukan sebagai seorang ibu tidak pernah menghalang minatnya untuk terus belajar.

Buktinya, dia berjaya mengambil beberapa kursus pengajian seperti bahasa Arab, Inggeris dan Hebrew serta matematik.

Ketika usia 81 tahun, sema­ngatnya untuk belajar berkobar-kobar dan memasuki kolej dekat sini bagi mendapatkan ijazah.

Menerusi temu bual dengan agensi berita tempatan, Jihad berkata, dia memilih Pengajian Islam disebabkan cinta dan komitmen terhadap agama.

Memakai jubah graduasi dan memegang segulung ijazah ketika meniti usia 85 tahun adalah nikmat tidak terperi dalam hidupnya.

“Saya belajar bersungguh-sungguh pada setiap malam demi mendapatkan segulung ijazah. Sekarang, saya akan berbakti dan memberikan manfaat kepada orang lain dengan me­ngajar mereka,” katanya.

utusan.com

captcha